Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
463 orang terima pingat kehormatan
28/04/2025

 


Penganugerahan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada seramai 463 orang penerima setentunya menjadi penyuntik semangat bagi warga jabatan kerajaan untuk terus maju dan cemerlang demi berbakti dan memberi sumbangan kepada negara.

Pengurniaan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam tersebut adalah sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun.

Berangkat mengurniakan Pingat-Pingat Kehormatan Negara, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Istiadat Pengurniaan Pingat tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini.

Mendahului pengurniaan pingat-pingat ialah Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) yang dikurniakan dan diterima oleh 13 penerima yang terdiri daripada tiga penerima dari Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan 10 dari Kementerian Pertahanan.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mengurniakan Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) yang dikurniakan kepada seramai 449 penerima yang terdiri daripada 33 penerima dari Pejabat Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; 145 dari JPM; 29 dari Kementerian Pertahanan; 70 dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi; 11 dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; 127 dari Kementerian Hal Ehwal Ugama; 18 dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan 16 dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Manakala seorang penerima dari Kementerian Pertahanan dianugerahkan Pingat Pahlawan Periwara (P.P).

Bagi memberkati Istiadat Pengurniaan Pingat tersebut, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Juga hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria; Menteri-Menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat; Timbalan-Timbalan Menteri; Pengiran-Pengiran Peranakan; Pehin-Pehin Manteri; Manteri-Manteri Pendalaman; Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi; Duta-Duta Besar; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan; pegawai-pegawai kanan kerajaan, Penghulu-penghulu Mukim serta Ketua-ketua Kampung.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto